PENGERTIAN
TEKNOLOGI
Teknologi merujuk kepada pembangunan dan penggunaan
alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia.A Perkataan
teknologi ini berasal daripada perkataan Greek iaitu teknología.
Téchnē bermaksud "seni, kemahiran,
rekaan", dan logía bermaksud
"pembelajaran, kajian". Menurut Heinich, Molenda dan Russel (1999)
teknologi merangkumi idea dan proses bukan sekadar alatan atau mesin. Kast dan
Rosenzing (1963) teknologi merupakan penggunaan ilmu pengetahuan secara
saintifik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) teknologi merupakan aktiviti atau kajian yang menggunakan
pengetahuan sains untuk tujuan praktikal dalam industri, pertanian, perubatan,
perniagaan dan sebagainya.
Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan teknologi
bermaksud penggunaan idea atau pengetahuan yang diilhamkan dalam bentuk
penciptaan alatan atau mesin.
DEFINISI
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Apa dia pengajaran?
Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan
bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara
sisitematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar
yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil
inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai
kemahiran yang diperlukan.
Apakah ciri-ciri Pengajaran?
- · guru sebagai pengajar dan murid sebagai pembelajar,
- · hanya bermakna apabila ada pembelajaran,
- · melibatkan instruksi diikuti dengan latihan, indoktrinasi dan pelaziman,
- · melibatkan proses pemikiran dan penggunaan bahasa atau symbol,
- · ada kaitan dengan tugasan dan pencapaian,
- · boleh dijalankan dengan aktiviti berpusatkan guru, murid dan gabungan guru-murid serta berpusatkan sumber,
- · meliputi rancangan mengajar (KOPI),
- · proses yang melibatkan interaksi dua hala,
- · ada unsur sains dan seni.
Apa dia pembelajaran?
Umumnya “Pembelajaran merupakan proses memperolehi
ilmu pengetahuan atau kemahiran”. Mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition
of Learning, pembelajaran merupakan “perubahan tingkahlaku atau kebolehan
seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan
proses pertumbuhan”.
Mengikut Woolfolk (1980) dalam Educational
Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai perubahan dalaman yang
berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai
potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru.
Ciri-ciri pembelajaran :
- · Satu proses yang berterusan,
- · Secara formal dan tak formal,
- · Secara formal melalui sekolah – membaca, menulis & mengira dsb.,
- · Secara tak formal melalui rakan sebaya, keluarga, media massa, persekitaran.
- · Mempunyai teori-teori atau mazhab pembelajaran,
- · Empat mazhab pembelajaran utama – behavioris, kognitif, sosial dan humanis.
KONSEP
TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN
Teknologi dalam
pendidikan bukan lagi suatu isu yang baru untuk dibincangkan. Pengajaran
berasaskan teknologi seperti komputer, kalkulator saintifik, perisian dinamik
bergrafik mahupun media teknologi maklumat sering digunakan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Ini selaras dengan kehendak objektif kurikulum
sekolah menengah, iaitu memperkasakan kebolehan pelajar menggunakan teknologi
yang bersesuaian untuk membina konsep, menguasai kemahiran dan menyelesaikan
masalah serta meneroka ilmu (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000).
Menurut Derek
Rowntre (1974). Teknologi pendidikan merupakan pendekatan sistematik yang amat
sesuai dan boleh diterima bagi proses penyelesaian masalah pengajaran dan
pembelajaran.
Yusup
Hashim(2007), menyatakan bahawa teknologi pendidikan merujuk kepada proses merancang, membina, membentuk, melaksana dan
menilai aktiviti- aktiviti pembelajaran secara saintifik dengan tujuan
memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Teknologi pendidikan
adalah proses yang kompleks dan bersepadu yang melibatkan manusia, prosedur,
idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah serta bentuk,
menilai, dan mengurus penyelesaian kepada masalah-masalah dalam keadaaan di mana proses pembelajaran
itu dalam keadaan terkawal.
Secara
ringkasnya, teknologi pendidikan merujuk
kepada proses pengajaran atau alatan yang dapat membantu guru dalam memastikan
pengajaran dan pembelajaran berkesan.